Piala Dunia

Salam Ukhuwah…

Moga Allah Subhanahuwataa’la merahmati para pembaca yang cuba untuk memahami dan mengambil pengajaran daripada risalah ringkas yang ditulis oleh seorang penulis yang dhaif lagi lemah tanpa bimbingan dan petunjuk dari_Nya dengan niat yang ikhlas semata-mata mengharapkan petunjuk dan hidayah dari_Nya disamping ingin menyebarkan & menyampaikan kebenaran (الحق).

Dari Abu Hurairah ‘Abdul Rahman bin Sakhr Radiyallahu ‘anh katanya:
“Aku telah mendengar bahawa Rasulullah Salallahu a’laihi wasallam telah bersabda: Apa yang aku tegahkan (larang) daripada kamu maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu dengannya maka hendaklah kamu laksanakan (kerjakan) mengikut keupayaan yang ada pada diri kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu disebabkan banyaknya pertanyaan dan percanggahan (perselisihan) mereka terhadap nabi-nabi (yang diutuskan) kepada mereka”.
(HR. Bukhori & Muslim)
Pengajaran yang boleh diambil daripada hadith:

1. Rasulullah dalam sabdanya menegaskan kepada kita supaya menjauhi segala tegahannya dan melaksanakan segala perintahnya (sekadar mana keupayaan yang mampu untuk kita lakukannya.
2. Terdapat perbezaan berhubung perkaitan antara larangan dan suruhan di dalam hadith ini. Larangan di sini bermaksud kita tidak boleh sama sekali melakukan sesuatu kejahatan (maksiat) dan tidaklah dimaafkan bagi mereka yang melakukan kejahatan seperti minum arak, berjudi, zina, dengan alasan tidak berupaya mencegah nafsu yang bergelora kerana larangan itu tetap mengenai dirinya dengan tidak bersyarat, manakala suruhan pula wajib dikerjakan sesuai dengan ketentuan hukum menurut sekadar mana yang dapat dilakukan. Malahan ada di antara sesetengah hukum itu diwajibkan ke atas seseorang dengan berserta sebab dan syarat-syaratnya yang tertentu.
3. Di dalam hadith ini juga, Rasulullah salallahu’alaihi wasallam melarang kita daripada memperbanyakkan pertanyaan atau menimbulkan masalah-masalah yang sukar difahami, yang kadang-kadang menyulitkan dan menyempitkan hukum-hukum agama.


Panah Islam
“Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka”
(Sa’ad ibn Abi Waqqas)

Beliau merupakan bapa saudara Nabi salallahu a’laihi wasallam dan antara orang terawal memeluk Islam. Sa’ad radiyallahu‘anhu juga termasuk dari kalangan 10 orang sahabat nabi yang terbaik yang dijanjikan syurga. Disebut dalam tulisan al-Mubarakfuri, Sa’ad RA adalah antara 9 orang yang mempertahankan nabi SAW dalam peperangan Uhud.

Beliau yang mengalahkan Persia dengan kemampuan beliau yang setanding dengan Khalid al-Walid RA. Beliaulah orang yang telah memalukan panglima Rustam dalam operasi Qadisiyah.

Keberanian beliau terserlah apabila beliau dengan berani menyatakan kepada Baginda SAW, “Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja engkau suka”. Slogan yang dilaungkan oleh Sa’ad merupakan satu slogan yang sangat baik, “Aku adalah panah daripada panah-panah Islam”. Slogan itu merupakan lambang keyakinan yang tinggi memuncak serta simbol keberjayaan tarbiah yang di bawa oleh Nabi Salallahu a’laihi wasallam kepada mereka.

(dipetik daripada buku “50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh & Cerita di Sebaliknya”, Ust. Mohd Dzul Khairi Mohd Noor).
Seputar ulasan berkaitan Piala Dunia…

Kita semua sudah sedia maklum bahawa judi itu haram hukumnya di sisi Islam bahkan ia membawa banyak keburukan kepada manusia sesama muslim atau non muslim. Tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 untuk menyekat kegiatan perjudian tanpa lesen memperlihatkan kedangkalan mereka dalam mengatasi isu tersebut. Adakah memadai untuk menghalang kemudaratan dengan cara memberikan lesen untuk melakukan kemudaratan tersebut umpama ingin menghalang orang yang mencuri dengan memberikan lesen kepada mereka untuk mencuri.

Ini mungkin satu usaha daripada pihak kerajaan yang tidak segan silu meluluskan lesen judi tersebut demi untuk mencapai matlamat MEB bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Jika itulah yang berlaku, ini mengesahkan lagi bahawa dasar pemerintahan negara ini adalah sekular melalui cabang pragmatisme dan bukannya Islam sebagaimana yang mereka war-warkan bahawa negara ini adalah negara Islam.

Kelulusan judi ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan hanya bertopengkan Islam demi wang, politik dan kerakusan kuasa semata-mata. Di hadapan masyarakat, mereka menzahirkan bahawa mereka inginkan Islam dengan menganjurkan pelbagai program keislaman seperti forum, sambutan hari kebesaran Islam termasuk begitu vokal dalam isu larangan berpolitik dalam masjid tetapi dalam masa yang sama mereka tidak kisah untuk menghalalkan perkara yang haram di sisi Islam dengan memberikan alasan yang tidak logik. Halal bagi mereka adalah kegiatan yang berlesen, adapun haram adalah kegiatan yang tidak diberikan lesen oleh mereka. Islam Hadhari yang sebelum ini dijadikan sebagai topeng untuk mengekalkan kuasa kini tenggelam kerana slogan tersebut hanya memakan diri dan merugikan mereka.

Sekira dirujuk kembali kepada kaedah pengambilan hukum iaitu ”matlamat tidak boleh menghalalkan cara”. Ini bermakna niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa yang sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram di dalam Islam seperti mana Firman Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
”Wahai orang-orang yang beriman! ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan menilik nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dan ia tergolong dari perbuatan-perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 219: ”mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia akan tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang mereka boleh belanjakan (dermakan)? katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”

Moga Allah Subhanahuwataa’la mengampunkan dosa penulis dan dosa pembaca sekalian di atas kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan atau yang akan dilakukan sama ada kesilapan itu disengajakan atau tidak disengajakan, yang mungkin juga disebabkan oleh kelemahan iman, kejahilan ilmu dan kecatatan amalan kita masng-masing.

Semoga apa yang tertulis ini mampu untuk memberi sedikit kesedaran kepada penulis dan saudara/ri sekalian. Kita tak pernah menjadi sempurna, kita manusia yang sentiasa berbuat kesalahan. Maka seharusnya kita muhasabah diri kita masing-masing, perlunya kita ingat-memperingati antara satu sama lain. Kerana kita adalah umat Muhammad Salallahu’alaihi wasallam.

Disediakan oleh,
Saudara kamu dalam Islam
(Sufi Shahmi b. Sulaiman)
Exco Biro Dakwah & Pembangunan Sahsiah
Persatuan al-Quran & al-Sunnah (al-QudS)

No comments:

Post a Comment

Sama2lah kita saling berpesan pada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran...InsyaAllah..Jazakallah atas komen anda..^__^