Peranan Masjid

MASJID ADALAH TEMPAT IBADAT DAN TEMPAT YANG SESUAI ‘BERTAHANNUT’ KEPADA ALLAH.NAMUN,ADAKAH KITA JUGA MERASAKAN SEDEMIKIAN RUPA?TEPUK DADA,TANYA IMAN KITA SEMUA.MOGA KITA TERMASUK DALAM ORANG YANG BERIMAN,INSYA-ALLAH BIIZNILLAH.

1. PERSEPSI sesetengah MAHASISWA Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu.

2. Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan para MAHASISWA serta masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam terutamanya para remaja untuk mengunjungi masjid-masjid.

3. Para MAHASISWA perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat.

4. Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling sesuai untuk solat, beri’tikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan sebagainya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat ke-18 yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah terdiri daripada orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

5. Abu Said al- Khudri mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Apabila kamu melihat seseorang itu rajin ke masjid, maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa dia benar-benar beriman.”

6. Berdasarkan keterangan yang tersebut di atas tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa masjid mempunyai fungsi yang besar sebagai institusi masyarakat Islam setempat yang penting, untuk membangun jiwa dan keperibadian Islam yang baik.

7. Para MAHASISWA khususnys wajib mencintai masjid, memakmurkannya dengan cara selalu hadir ke masjid untuk tujuan solat berjemaah dan melakukan i’tikaf, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Di samping itu mengikuti majlis-majlis ilmu dan turut menjayakan apa jua aktiviti yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Islam dan umatnya.


FUNGSI MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W.
1. Setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah s.a.w berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina masjid.

Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera, tetapi oleh kerana Rasulullah s.a.w. melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah s.a.w memberi keutamaan kepadanya.

2. Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam dan sebagai pusat perkembangan agama mereka.

Kita lihat setelah baginda Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah segera yang diambil oleh Rasulullah s.a.w ialah mendirikan masjid (yang terkenal dengan nama “Masjid Nabawi”) dan bermula dari sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.


3. Kita boleh menyatakan bahawa fungsi masjid ketika itu amat besar dan ketara sekali. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui peranan dan fungsi masjid ini.

KEADAAN MASJID PADA HARI INI

Dewasa kini,memang tidak dinafikan terdapat ramai pengunjung dan tetamu Masjid. Namun, seperti yang kita lihat sekarang, Masjid kini menjadi tempat bersuka ria dengan berborak, gelak ketawa, bergosip, tempat buang sampah (terutamanya tisu yang telah digunakan)dan sebagainya. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana bagi MAHASISWA yang ingin mencari ketenangan,kedamaian dan ingin beribadat kepada Allah yang Esa sering kali terganggu dek sebahagian MAHASISWI khususnya yang sangat bising ketika berada di Masjid.
Adakah kita suka orang ganggu kita ketika kita sedang mencari erti ketenangan dan ingin bermuhasabah diri? Sudah pasti kita tidak suka. Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa ingat-mengingati antara kita. Besar kemungkinan sahabat-sahabat dan sanak-saudara seIslam kita terleka tatkala berada di dalam Masjid dan terlupa akan adab-adab ketika berada di Masjid.Marilah kita tanamkan azam sama-sama ingin berubah untuk mencari dan mendambakan keredhaan ALLAH semata-mata,serta berusaha meningkatkan keimanan kita dan berusaha untuk mengimarahkan Masjid. Terutamanya kita sebagai MAHASISWA,hendaklah kita berusaha lebih untuk menghabis masa kita dengan ber’iktikaf di Masjid lebih kerap berbanding “ber’iktikaf” di pasar malam, pusat membeli-belah dan melepak yang sia-sia.

Marilah kita jadikan artikal ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian kita. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Segala ilmu yang berguna bolehlah kita sama-sama berusaha untuk melakukannya, manakala jika ada yang salah, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan jadikannya sebagai sempadan. Insya-Allah, dengan maklumat yang tidak seberapa ini, mudah-mudahan kita dapat mengislahkan diri kita. Wallahua’lam.

Renungan dan peringatan bersama,
(Qurratu Ain Binti Rapihi)
Timbalan Exco Biro Dakwah & Pembangunan Sahsiah
Persatuan al-Quran & al-Sunnah (al-QudS).

No comments:

Post a Comment

Sama2lah kita saling berpesan pada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran...InsyaAllah..Jazakallah atas komen anda..^__^