Berfiir Kreatif & Kritis

Assalamualaikum wbt..
Salam Perjuangan kepada peminat setia blog AL-QUDS.
Diharap anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati oleh ALLAH S.W.T.

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ILAHI kerana memberi keizinan dan peluang untuk sama-sama kita berkongsi ilmu dalam blog yang diharap dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Moga-moga dengan perkongsian sedikit ilmu yang ada mudah-mudahan dapat kita jadikan iktibar mahupun pendorong dalam meneruskan perjuangan kita di muka bumi ALLAH ini.

Kita telah memasuki bulan JULAI 2010. Bagaimana pula dengan bulan Jun 2010 yang telah berlalu? Cemerlangkah kita pada bulan tersebut? Andai kata dirasakan diri kita masih tidak cemerlang, kita tebus ketidakcemerlangan kita tu pada bulan Julai ini. Insyaallah kita cuba yang terbaik dengan semangat keazaman yang tinggi. Penulis tertarik dengan artikel yang dibaca baru-baru ini berkaitan dengan kemahiran berfikir. Bagi penulis topik ini agak menarik kerana ia amat penting bagi kita yang hidup dalam suasana kampus dan status kita sebagai seorang mahasiswa.

Percaya atau tidak, orang yang mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif adalah orang yang susah hidupnya. Kesusahan hidup mendesak minda orang itu untuk memikirkan cara-cara kreatif bagaimana untuk keluar dari kemiskinan. Orang sebegini apabila menghadapai masalah, fikirannya lebih terarah kepada memikirkan penyelesaian, bukan pada memikir masalah itu sendiri.

Oleh kerana mindanya terarah kepada mencari penyelesaian, tanpa dia sedari dia telah melatih mindanya supaya berfikir secara kreatif, iaitu mencari penyelesaian kepada permasalahan yang di hadapi olehnya. Desakan hidup membuat dia memiliki kemahiran berfikir secara kreatif, menjadikan dia memiliki idea-idea yang tidak dimiliki oleh orang lain, mengeluarkan idea lebih cepat daripada orang lain serta membuat analisis dengan cukup mendalam.

Minda yang dibentuk oleh desakan akan mempunyai kekuatan tersendiri. Minda yang tidak di desak dengan tekanan akan menjadi jumud, iaitu tidak berkembang, tidak menyerlahkan kehebatan. Orang yang memiliki minda sebegini akan tenggelam dalam kesenangan yang melalaikan. Pada pendapat penulis, berfikir adalah proses merencanakan sesuatu dan merancang sesuatu. Berfikir adalah tindakan anda untuk menimbangkan pilihan sebelum memulakan tindakan. Anda akan membuat keputusan, iaitu tindakan mana yang perlu di ambil.

Motivasi kita akan meningkat tinggi apabila kita melebihkan berfikir dulu sebelum buat. Jika kita buat dulu tanpa berfikir, kelak nanti kita akan lebih banyak gagal daripada berjaya, akhirnya membuatkan kita tidak mencapai satu apa pun, dan menjadi tidak bersemangat secara tiba-tiba. Berfikir bukan milik orang intelektual saja. Sesiapa saja yang mahu berjaya (khususnya Anda) perlu banyak berfikir, iaitu berfikir bagaimana untuk memajukan diri selain berfikir apa lagi cara boleh Anda gunakan untuk mencapai matlamat Anda.

Jika Anda selalu membaca Tafsir al-Quran lalu mendalami makna tersiratnya, Anda akan menemui banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa supaya kita selalu berfikir, iaitu berfikir tentang tanda-tanda kekuasaan Allah serta pengajaran di sebalik sesuatu cerita. Mesti ada sebab kenapa Allah menyuruh kita rajin berfikir. Menjadi tugas kita untuk mencari sebab kita di suruh rajin berfikir hinggakan ayat suruhan untuk kita rajin berfikir sering di ulang-ulang di dalam al-Quran. Dalam sejarah kejayaan manusia, kejayaan bermula dengan berfikir. Orang-orang berjaya adalah orang yang rajin berfikir serta memiliki kemahiran berfikir secara kreatif.

Kita mahu berjaya, kita perlu merubah diri menjadi orang yang selalu berfikir, kemudian selalu berfikir secara kreatif dengan mengutarakan idea-idea spontan, berguna serta unik. Berfikir penting dalam membentuk diri kita menjadi orang yang berjaya. Kuat berfikir tidak semestinya menjadikan kita gila tapi pasti memperkayakan kepala kita dengan berbagai idea.

Akhir kalam, penulis memohon maaf sekiranya jika ada sebarang kesilapan dalam penulisan di atas. Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian ilmu ini dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan serta pedoman dalam meneruskan perjuangan kita sebagai mahasiswa yang sedang menimba ilmu untuk masa akan datang. Insyaallah..


Ditulis Oleh,
Muhammad Fizree Bin Zubir
Exco Akademik & Sahsiah
Persatuan Mahasiswa Al-Quran & As-Sunnah (al-QudS)
2010/2011


No comments:

Post a Comment

Sama2lah kita saling berpesan pada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran...InsyaAllah..Jazakallah atas komen anda..^__^