Salam’alaik. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya serta para sahabatnya. Semoga para pembaca sekalian sentiasa di bawah naungan rahmat dan keredhaan Allah.
Dari Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-dari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Agama itu nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Nabi bersabda: Bagi Allah dan bagi kitab Nya dan bagi Rasul-Nya dan bagi imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka. Diriwayatkan oleh Muslim.
Para pembaca sekalian, dari hadis di atas, jelaslah bahawa agama Islam itu adalah agama yang menggalakkan atau menyuruh umatnya untuk saling nasihat-menasihati antara satu dengan yang lain. Untuk menasihati seseorang itu tidak kiralah sama ada dia adalah seorang yang tinggi pangkatnya atau seorang yang kaya dan sebagainya. Tetapi ia adalah untuk umum. Dan ia juga tidak kira sama ada dia adalah orang dewasa atau kanak-kanak. Jika seseorang itu melakukan kesalahan yang disengajakan atau tidak, dia harus dinasihati supaya dia tidak mengulangi kesilapannya lagi.
Ada sebuah peristiwa yang berlaku pada zaman Rasululllah s.a.w. mengenai seorang sahabat yang begitu peramah dan ceria orangnya. Dia tidak pernah sekalipun tidak melayani sahabat-sahabat di sekelilingnya. Tetapi pada suatu ketika, sewaktu beliau sedang berada bersama sahabatnya, beliau hanya mendiamkan diri dan tidak melayani mereka atau berborak bersama mereka. Sahabat yang lain mula merasa tidak senang. Lalu seorang dari mereka menanyakan hal itu kepadanya. Dia menjawab ianya adalah kerana mereka tidak menasihatinya atau menegurnya ketika dia melakukan kesalahan. Dan dia berasa terkilan kerana tidak ada yang menegur kesalahannya.
Para pembaca sekalian, lihatlah betapa tulusnya hati sahabat Rasulullah ini. Dia berasa sedih dan terkilan tatkala tiada sahabatnya menegur atau menasihati kesilapannya. Kerana apa? Kerana dia tahu bahawa dengan teguran dan nasihat itu, dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Dan mungkin juga dia tidak akan mengulangi perkara yang sama lagi.
Sahabat yang baik adalah sahabat yang sering menasihati sahabatnya yang lain. Carilah seorang sahabat yang dapat menjadi ‘cermin’ bagi diri kita. Seseorang yang akan menegur kita waktu kita melakukan kesilapan dan akan memberi dorongan bagi kita jika sesuatu itu dapat memberi faedah bagi diri kita dan orang disekeliling.
Dari itu, janganlah kita membenci atau memusuhi sahabat-sahabat yang sering memberi nasihat pada diri kita. Terimalah dengan hati yang terbuka. Kerana sahabat yang selalu menasihatkan kita itu, sebenarnya dia menyayangi kita dan ingin melihat kita menjadi orang yang lebih baik. Usahlah kita memandang enteng pada nasihat yang diberikan. Kerana mungkin satu hari nanti kita akan menyesal jika tidak mendengar nasihat yang diberikan pada kita itu. Wallahu'alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Sama2lah kita saling berpesan pada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran...InsyaAllah..Jazakallah atas komen anda..^__^