Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan Al-Mubarak


Salam'alaik kepada para pembaca yang dikasihi Allah sekalian. Pertama sekali, ana merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan rahmat serta kasih sayang-Nya kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadhan al-Mubarak buat kesekian kalinya lagi. Alhamdulillah.

Dengan sukacitanya penulis ingin mengucapkan Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan. Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, lakukanlah ibadah puasa ini dengan seikhlas hati. Sesungguhnya bulan Ramadhan ini awalnya Rahmat, pertengahannya Maghfirah dan penghujungnya pembebasan dari api neraka.


Dan rebutlah peluang keemasan ini untuk menikmati Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah s.w.t.:" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. sejahteralah(malam itu) sampai terbit fajar".-Surah Al-Qadar:1-5.


Semoga dengan kedatangan bulan Ramadhan ini,akan menambahkan amalan kita dan mempertingkatkan lagi ibadah kita. Fastabiqul Khairaat.
Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini. Wassalam.


Agama itu Nasihat

Salam’alaik. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya serta para sahabatnya. Semoga para pembaca sekalian sentiasa di bawah naungan rahmat dan keredhaan Allah.

Dari Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-dari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Agama itu nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Nabi bersabda: Bagi Allah dan bagi kitab Nya dan bagi Rasul-Nya dan bagi imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka. Diriwayatkan oleh Muslim.

Para pembaca sekalian, dari hadis di atas, jelaslah bahawa agama Islam itu adalah agama yang menggalakkan atau menyuruh umatnya untuk saling nasihat-menasihati antara satu dengan yang lain. Untuk menasihati seseorang itu tidak kiralah sama ada dia adalah seorang yang tinggi pangkatnya atau seorang yang kaya dan sebagainya. Tetapi ia adalah untuk umum. Dan ia juga tidak kira sama ada dia adalah orang dewasa atau kanak-kanak. Jika seseorang itu melakukan kesalahan yang disengajakan atau tidak, dia harus dinasihati supaya dia tidak mengulangi kesilapannya lagi.

Ada sebuah peristiwa yang berlaku pada zaman Rasululllah s.a.w. mengenai seorang sahabat yang begitu peramah dan ceria orangnya. Dia tidak pernah sekalipun tidak melayani sahabat-sahabat di sekelilingnya. Tetapi pada suatu ketika, sewaktu beliau sedang berada bersama sahabatnya, beliau hanya mendiamkan diri dan tidak melayani mereka atau berborak bersama mereka. Sahabat yang lain mula merasa tidak senang. Lalu seorang dari mereka menanyakan hal itu kepadanya. Dia menjawab ianya adalah kerana mereka tidak menasihatinya atau menegurnya ketika dia melakukan kesalahan. Dan dia berasa terkilan kerana tidak ada yang menegur kesalahannya.

Para pembaca sekalian, lihatlah betapa tulusnya hati sahabat Rasulullah ini. Dia berasa sedih dan terkilan tatkala tiada sahabatnya menegur atau menasihati kesilapannya. Kerana apa? Kerana dia tahu bahawa dengan teguran dan nasihat itu, dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Dan mungkin juga dia tidak akan mengulangi perkara yang sama lagi.

Sahabat yang baik adalah sahabat yang sering menasihati sahabatnya yang lain. Carilah seorang sahabat yang dapat menjadi ‘cermin’ bagi diri kita. Seseorang yang akan menegur kita waktu kita melakukan kesilapan dan akan memberi dorongan bagi kita jika sesuatu itu dapat memberi faedah bagi diri kita dan orang disekeliling.

Dari itu, janganlah kita membenci atau memusuhi sahabat-sahabat yang sering memberi nasihat pada diri kita. Terimalah dengan hati yang terbuka. Kerana sahabat yang selalu menasihatkan kita itu, sebenarnya dia menyayangi kita dan ingin melihat kita menjadi orang yang lebih baik. Usahlah kita memandang enteng pada nasihat yang diberikan. Kerana mungkin satu hari nanti kita akan menyesal jika tidak mendengar nasihat yang diberikan pada kita itu. Wallahu'alam.

Tuduhan jahat Orientalis terhadap Al-Quran.

Salam'alaik Penulis mengucapkan pada para pembaca sekalian. Pertama-tama sekali, Penulis merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia Nya serta keizinanNya, dapat juga Penulis menulis dalam blog Al-QudS yang serba sederhana ini. Mudah-mudahan dengan segala penulisan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Insya Allah.

Golongan Orientalis atau mereka yang dikenali sebagai gerakan pengkaji Barat terhadap hal ehwal ketimuran khusunya Timur Tengah yang menjadi pusat kelahiran awal Islam. Mereka mengkaji masyarakat Islam Timur Tengah dari pelbagai aspek untuk tujuan dan matlamat yang pelbagai. Mereka juga mempunyai metodologi sendiri dan kebanyakannya didalangi oleh golonga Kristian yang cuba menyesatkan umat Islam dengan menimbulkan pelbagai kekeliruan dan tuduhan jahat terhadap Islam dan umatnya.

Antara tuduhan jahat yang dilemparkan ialah dengan mencetuskan kepercayaan Basyariyyatu Al-Quran (Al-Quran adalah ciptaan manusia), ia bukannya Kalam Allah Azza wa Jalla. Mereka mendakwa Al-Quran adalah rekaan Nabi Muhammad s.a.w. dan bukannya wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Di kalangan mereka ada yang berpendapat bahawa Al-Quran telah dipengaruhi oleh situasi geografi, kehidupan beragama dan kebudayaan masyarakat Arab setempat. Pendapat ini telah dikatakan oleh seorang Orientalis yang bernama Gibs. Oleh itu, dengan erti kata yang lain, Al-Quran ini tidak sesuai untuk situasi masyarakat yang lain. Ini juga bermakna dakwah Nabi tidak bersifat universal.

Ada juga yang mengatakan bahwa Al-Quran adalah bersumberkan golongan Hunafa' (mereka yang mewarisi kepercayaan nabi-nabi terdahulu). Mereka menyangka bahwa Al-Quran adalah bersumberkan kitab-kitab Samawi terdahulu seperti Taurat dan Injil berdasarkan persamaan yang wujud pada hukum-hakam dan adab yang berkaitan.

Sebahagian lain pula menyebut bahawa syariat Islam adala warisan perundangan empayar Rom Timur yang dipinda bagi menepati citarasa dan situasi politik negara Arab.
Seoranh Orientalis dari Rusia pula, Agnatius Kratsykoysky menulis dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Geografi Sastera Arab mangatakan " Bahawa Al-Quran ialah ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh Muhammad s.a.w. melalui pendengaran dari seseorang".

Goston Luborn, menyebut bahawa hukum-hakam Al-Quran pada tanggapan beliau adalah tidak benar kerana melahirkan pertelingkahan di kalangan orang Islam dengan pelbagai golongan dan mazhab yang menurut hawa nafsu dan kepentingan peribadi mereka.
Gold Ziher juga menuduh para Fuqaha Islam menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan mencipta pelbagai kaedah fiqah bagi membantu mazhab mereka bukannya atas dasar keilmuan dan bahasa fiqah.

Para ulama' telah menjawab segala tohmahan mereka itu dari pelbagai sudut dan ilmu.
Tentang dakwaan mereka Basyariyyatul Quran, ulama' menegaskan bahawa Al-Quran sebenarnya wahyu Allah bukannya ciptaan Nabi s.a.w. Buktinya sebelum Nabi dibangkitkan menjadi Rasul, Nabi adalah seorang yang Ummi( tidak pandai menulis dan membaca). Bagaimana mungkin Nabi dapat menciptakan sesuatu yang begitu agung, yang diakui oleh pengkaji Barat sendiri bahawa kandungan Al-Quran adalah sistem kehidupan yang sempurna dan bertamadun.

Dakwaan mereka yang mengatakan Al-Quran dipengaruhi situasi masyarakat Arab juga terpesong kerana Al-Quran secara jelas membawa perubahan besar kepada masyarakat Arab yang sebelumnya berada dalm gelap Jahiliyyah dan keruntuhan moral yang parah.

Dan tentang dakwaan mereka yang menyebut Al-Quran adalah bersumberkan golongan Hunafa' adalah tidak benar kerana golongan Hunafa' menerima ajaran dan syariat yang ditinggalkan oleh nabi-nabi terdahulu yang kebanyakannya telah diseleweng dan dicampur-aduk dengan pelbagai rekaan, sementara syariat Islam membawa syariat yang sesuai dan sempurna untuk seluruh umat manusia.

Pandangan yang mengatakan Al-Quran adalah warisan perundangan Rom Timur pula adalah silap kerana prinsip-prinsip dan dasar yang dikemukakan oleh Islam jauh lebih baik dan jelas berbeza dengan apa yang digelar Tamadun Rom itu.

Akhir kalam, renungilah firman Allah s.w.t. yang berbunyi: " Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahwa mereka berkata:"Sesungguhnya Al-Quran itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya(Muhammad)". Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahwa) Muhammad belajar kepadanya bahasa Ajam, sedang Al-Quran adalah dalam bahasa Arab yang terang". (an-Nahl:103)

Wallahu'alam.

-Dipetik dari buku 'Kemuliaan Al-Quran & sejarah pemalsuannya'. Oleh Ustaz Ridhuan Mohammad Nor dan Ustaz Mohd Asri Mat Daud-.