SAAT MAHASISWA ISLAM JAUH DARI TUNTUNAN AGAMA

Satu hal paling penting yang seringkali dilalaikan oleh kebanyakan manusia adalah tentang hakikat dirinya sebagai seorang hamba Allah s.w.t. Manusia acap kali mengabaikan atau bahkan sengaja melupakannya. Dan dari akar masalah inilah timbul pelbagai tindakan dosa, maksiat, kejahatan, dan kerosakan dalam kehidupan. Manusia seperti ini hidup dalam kebebasan membuat dan melakukan apapun yang dikehendaki oleh hatinya dengan hidup tanpa ada aturan yang jelas. Orang-orang yang sedemikian telah hilang fungsi akal dan hatinya. Akalnya tidak lagi tahu membezakan antara yang baik dan buruk. Dan hatinya tidak lagi tahu membezakan antara yang benar dan salah.


Allah s.w.t. telah mengatur kehidupan manusia dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Manusia yang menyedari dirinya sebagai seorang hamba akan selalu mengikuti petunjuk yang diturunkan Allah s.w.t. dan diajarkan Rasul s.a.w. Hidupnya akan penuh dengan kebaikan dan nilai-nilai manfaat. Manusia sedemikian adalah orang-orang yang Allah gambarkan sebagai ûlul albâb, orang-orang yang berakal sehingga teserlah adanya perbezaan di antara orang-orang yang menjalankan fungsi akal dan hatinya serta adanya perbezaan antara orang-orang yang hatinya hidup dengan orang-orang yang hatinya sakit atau telah mati.
Kita sebagai pelajar dan mahasiswa Islam haruslah lebih ke depan dalam hal ini. Kita telah belajar al-Quran, Hadith, Aqidah, Fiqh dan pelbagai ilmu agama yang lain. Dari pembelajaran tersebut banyak hal yang telah kita pahami dan ketahui. Kita sudah mengenal Allah s.w.t., sunnah Rasul s.a.w., aturan-aturan syar`i, dan batas-batas dalam melakukan sesuatu. Ada perkara yang harus dijaga dan tidak boleh dilanggar. Kita bukan seperti orang-orang kafir yang boleh membuat sesuatu perkara mengikut kata hati, bukan seperti orang-orang awam yang masih jauh dari fahaman agamanya, tetapi kita adalah Muslim dan penuntut ilmu syar`i.
Sebagai seorang pelajar kita tidak hanya dituntut untuk menjadi bijaksana, menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, tapi kita juga dituntut untuk menjadi soleh dari pelbagai sudut, akhlak, sikap, dan dalam hubungan dengan orang lain. Inilah yang tidak difahami dan disedari oleh sebahagian pelajar Islam sehingga kita banyak melihat segelintir pelajar Islam sering kali melakukan tindakan-tindakan yang tidak layak bagi seseorang yang bergelar pelajar Islam.


Contoh yang sering kita lihat adalah berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.lebih muda dalam isilah”bercouple” sudah menjadi budaya yang susah untuk diatasi. Berdua-duaan tanpa batasan waktu dan kata, chating yang berkepanjangan dan sebagainya telah begitu sebati dalam diri sebagian pelajar Islam. Cara berinteraksi yang terlalu dekat dengan lelaki atau wanita dalam program-program, rehlah, bahkan dalam forum-forum keilmuwan dan dakwah juga sering terjadi. Kerosakan moral telah meluas dan semakin parah.


Sebagian muda-mudi ada yang berpandangan negatif pada mahasiswa dan mahasiswi yang menikah ketika masih kuliah. Akan tetapi, apakah mereka tidak risau melihat mahasiswa yang bercouple, yang kebelakangan ini sudah menjadi pemandangan biasa bagi kita. seperti jalan berdua-duaan, makan di restoran berduaan, sehingga kita susah membezakan mana yang telah bernikah dan mana yang belum, kerana keadaan mereka seperti orang yang sudah bernikah.
Dari segi pemakaian, sudah menjadi kebiasaan kaum muslimah yang pakaiannya ketat yang sentiasa mengundang perhatian, sedangkan mereka belajar di institut pendidikan Islam. Atau mahasiswa yang dilihat dari segi penampilannya tidak menggambarkan seorang pelajar Islam.


Hal lainnya adalah, tidak terjaganya mata, mata yang sering melihat sesuatu yang akan merosakkan hati, pemikiran, dan membangkitkan nafsu. Atau menghabiskan waktu dan hari-hari dengan hiburan-hiburan yang melalaikan, yang membuatkan seseorang akan lemah mental dan iman. Hiburan yang tidak membangun jiwa, tidak menambah ilmu dan manfaat, hiburan yang tidak mendekatkan seseorang pada kebaikan kepada Allah s.w.t. Dan banyak lagi hal lain yang kalau kita selidiki lebih jauh dan mendalam, yang terjadi di dalam lingkungan dan kehidupan seorang manusia muslim dan mahasiswa Islam.


Setiap orang memang boleh berinteraksi, tapi harus diingat ada batasan yang mesti diperhatikan dan dijaga dan bukannya membuat sesuatu dengan sesuka hati. Kita harus menyedari bahawa diri kita adalah seorang hamba Allah s.w.t. Setiap saat Allah s.w.t. sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui kata-kata, perbuatan dan isi hati kita. Sekiranya hal ini betul-betul kita fahami dengan baik, tentu semua kerosakan akhlak, moral, amal, ilmu dan sebagainya tidak akan terjadi dalam kehidupan kita.


Ketika muzik dijadikan sebagai hiburan oleh para penuntut ilmu agama, timbul pertanyaan, kenapa harus muzik? Apa tidak ada lagi hiburan lain yang lebih manfaat dan lebih baik diadakan oleh kita selaku penuntut ilmu agama? Kenapa kita seolah-olah meninggalkan al-Quran sebagai penghibur hati? Walaupun ada beberapa alasan mereka yang membenarkan muzik, diantaranya adalah ungkapan, "yang penting unsurkan ketuhanan dan islamik ," akan tetapi dari alasan ini muncul sebuah pertanyaan, apakah mereka yang mendengarkannya merenungi atau menikmati kata-kata yang ada dalam lagu tersebut, atau mereka terhibur adalah semata-mata karana alat muzik yang dimainkan? Menurut penulis, masih banyak alternatif lain yang lebih baik bagi kita sebagai penuntut ilmu syar`i.


Tulisan ini tidaklah bermaksud untuk menyentuh beberapa pihak, tapi penulis ingin kita merenung pada diri kita semua untuk sama-sama mengenali hakikat diri kita sebagai seorang manusia, seorang hamba Allah s.w.t dan seorang pelajar Islam sehingga adanya kesedaran yang penuh dalam diri kita tentang perkara ini. Keadaan ini dapat membentuk kita semua untuk menjadi peribadi muslim yang soleh dan solehah sebagaimana yang diinginkan Allah s.w.t. Kita hidup di dunia hanya sementara, dan waktu sebentar itu tidaklah dapat kiranya kita gunakan untuk hal-hal yang tidak berguna apalagi untuk hal-hal yang akan membinasakan kita di akhirat kelak.


Memang setiap kita mempunya persepsi masing-masing dan setiap individu berhak menentukan sikap dan pilihan terhadap dirinya. Namun alangkah bijaknya kita yang lemah dan tidak tahu ini memohon petunjuk Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. dengan pemikiran yang jernih dan hati yang bersih sehingga jelaslah bagi kita kebenaran dan kemungkaran itu, jelaslah bagi kita jalan mana yang harus kita tempuh dan jalan mana yang harus kita tinggalkan.
Terakhir, semoga pembaca dapat memahami tulisan ini, mengambil yang positif dan manfaatnya. Dan bila terdapat kesalahan dalam penempatan atau penggunaan kata, terlebih dahulu penulis memohon maaf dan mengharapkan komen dari pembaca sehingga diantara kita terbina kebaikan diatas jalan ini.

Salam ukhuwah untukmu mahasiswa



Oleh:Sumayyah bt Jusoh.
Timb. Exco Akademik dan Sahsiah
Al-QudS

Berfiir Kreatif & Kritis

Assalamualaikum wbt..
Salam Perjuangan kepada peminat setia blog AL-QUDS.
Diharap anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati oleh ALLAH S.W.T.

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ILAHI kerana memberi keizinan dan peluang untuk sama-sama kita berkongsi ilmu dalam blog yang diharap dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Moga-moga dengan perkongsian sedikit ilmu yang ada mudah-mudahan dapat kita jadikan iktibar mahupun pendorong dalam meneruskan perjuangan kita di muka bumi ALLAH ini.

Kita telah memasuki bulan JULAI 2010. Bagaimana pula dengan bulan Jun 2010 yang telah berlalu? Cemerlangkah kita pada bulan tersebut? Andai kata dirasakan diri kita masih tidak cemerlang, kita tebus ketidakcemerlangan kita tu pada bulan Julai ini. Insyaallah kita cuba yang terbaik dengan semangat keazaman yang tinggi. Penulis tertarik dengan artikel yang dibaca baru-baru ini berkaitan dengan kemahiran berfikir. Bagi penulis topik ini agak menarik kerana ia amat penting bagi kita yang hidup dalam suasana kampus dan status kita sebagai seorang mahasiswa.

Percaya atau tidak, orang yang mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif adalah orang yang susah hidupnya. Kesusahan hidup mendesak minda orang itu untuk memikirkan cara-cara kreatif bagaimana untuk keluar dari kemiskinan. Orang sebegini apabila menghadapai masalah, fikirannya lebih terarah kepada memikirkan penyelesaian, bukan pada memikir masalah itu sendiri.

Oleh kerana mindanya terarah kepada mencari penyelesaian, tanpa dia sedari dia telah melatih mindanya supaya berfikir secara kreatif, iaitu mencari penyelesaian kepada permasalahan yang di hadapi olehnya. Desakan hidup membuat dia memiliki kemahiran berfikir secara kreatif, menjadikan dia memiliki idea-idea yang tidak dimiliki oleh orang lain, mengeluarkan idea lebih cepat daripada orang lain serta membuat analisis dengan cukup mendalam.

Minda yang dibentuk oleh desakan akan mempunyai kekuatan tersendiri. Minda yang tidak di desak dengan tekanan akan menjadi jumud, iaitu tidak berkembang, tidak menyerlahkan kehebatan. Orang yang memiliki minda sebegini akan tenggelam dalam kesenangan yang melalaikan. Pada pendapat penulis, berfikir adalah proses merencanakan sesuatu dan merancang sesuatu. Berfikir adalah tindakan anda untuk menimbangkan pilihan sebelum memulakan tindakan. Anda akan membuat keputusan, iaitu tindakan mana yang perlu di ambil.

Motivasi kita akan meningkat tinggi apabila kita melebihkan berfikir dulu sebelum buat. Jika kita buat dulu tanpa berfikir, kelak nanti kita akan lebih banyak gagal daripada berjaya, akhirnya membuatkan kita tidak mencapai satu apa pun, dan menjadi tidak bersemangat secara tiba-tiba. Berfikir bukan milik orang intelektual saja. Sesiapa saja yang mahu berjaya (khususnya Anda) perlu banyak berfikir, iaitu berfikir bagaimana untuk memajukan diri selain berfikir apa lagi cara boleh Anda gunakan untuk mencapai matlamat Anda.

Jika Anda selalu membaca Tafsir al-Quran lalu mendalami makna tersiratnya, Anda akan menemui banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa supaya kita selalu berfikir, iaitu berfikir tentang tanda-tanda kekuasaan Allah serta pengajaran di sebalik sesuatu cerita. Mesti ada sebab kenapa Allah menyuruh kita rajin berfikir. Menjadi tugas kita untuk mencari sebab kita di suruh rajin berfikir hinggakan ayat suruhan untuk kita rajin berfikir sering di ulang-ulang di dalam al-Quran. Dalam sejarah kejayaan manusia, kejayaan bermula dengan berfikir. Orang-orang berjaya adalah orang yang rajin berfikir serta memiliki kemahiran berfikir secara kreatif.

Kita mahu berjaya, kita perlu merubah diri menjadi orang yang selalu berfikir, kemudian selalu berfikir secara kreatif dengan mengutarakan idea-idea spontan, berguna serta unik. Berfikir penting dalam membentuk diri kita menjadi orang yang berjaya. Kuat berfikir tidak semestinya menjadikan kita gila tapi pasti memperkayakan kepala kita dengan berbagai idea.

Akhir kalam, penulis memohon maaf sekiranya jika ada sebarang kesilapan dalam penulisan di atas. Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian ilmu ini dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan serta pedoman dalam meneruskan perjuangan kita sebagai mahasiswa yang sedang menimba ilmu untuk masa akan datang. Insyaallah..


Ditulis Oleh,
Muhammad Fizree Bin Zubir
Exco Akademik & Sahsiah
Persatuan Mahasiswa Al-Quran & As-Sunnah (al-QudS)
2010/2011


Peranan Masjid

MASJID ADALAH TEMPAT IBADAT DAN TEMPAT YANG SESUAI ‘BERTAHANNUT’ KEPADA ALLAH.NAMUN,ADAKAH KITA JUGA MERASAKAN SEDEMIKIAN RUPA?TEPUK DADA,TANYA IMAN KITA SEMUA.MOGA KITA TERMASUK DALAM ORANG YANG BERIMAN,INSYA-ALLAH BIIZNILLAH.

1. PERSEPSI sesetengah MAHASISWA Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu.

2. Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan para MAHASISWA serta masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam terutamanya para remaja untuk mengunjungi masjid-masjid.

3. Para MAHASISWA perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat.

4. Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling sesuai untuk solat, beri’tikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan sebagainya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat ke-18 yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah terdiri daripada orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

5. Abu Said al- Khudri mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Apabila kamu melihat seseorang itu rajin ke masjid, maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa dia benar-benar beriman.”

6. Berdasarkan keterangan yang tersebut di atas tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa masjid mempunyai fungsi yang besar sebagai institusi masyarakat Islam setempat yang penting, untuk membangun jiwa dan keperibadian Islam yang baik.

7. Para MAHASISWA khususnys wajib mencintai masjid, memakmurkannya dengan cara selalu hadir ke masjid untuk tujuan solat berjemaah dan melakukan i’tikaf, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Di samping itu mengikuti majlis-majlis ilmu dan turut menjayakan apa jua aktiviti yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Islam dan umatnya.


FUNGSI MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W.
1. Setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah s.a.w berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina masjid.

Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera, tetapi oleh kerana Rasulullah s.a.w. melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah s.a.w memberi keutamaan kepadanya.

2. Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam dan sebagai pusat perkembangan agama mereka.

Kita lihat setelah baginda Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah segera yang diambil oleh Rasulullah s.a.w ialah mendirikan masjid (yang terkenal dengan nama “Masjid Nabawi”) dan bermula dari sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.


3. Kita boleh menyatakan bahawa fungsi masjid ketika itu amat besar dan ketara sekali. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui peranan dan fungsi masjid ini.

KEADAAN MASJID PADA HARI INI

Dewasa kini,memang tidak dinafikan terdapat ramai pengunjung dan tetamu Masjid. Namun, seperti yang kita lihat sekarang, Masjid kini menjadi tempat bersuka ria dengan berborak, gelak ketawa, bergosip, tempat buang sampah (terutamanya tisu yang telah digunakan)dan sebagainya. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana bagi MAHASISWA yang ingin mencari ketenangan,kedamaian dan ingin beribadat kepada Allah yang Esa sering kali terganggu dek sebahagian MAHASISWI khususnya yang sangat bising ketika berada di Masjid.
Adakah kita suka orang ganggu kita ketika kita sedang mencari erti ketenangan dan ingin bermuhasabah diri? Sudah pasti kita tidak suka. Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa ingat-mengingati antara kita. Besar kemungkinan sahabat-sahabat dan sanak-saudara seIslam kita terleka tatkala berada di dalam Masjid dan terlupa akan adab-adab ketika berada di Masjid.Marilah kita tanamkan azam sama-sama ingin berubah untuk mencari dan mendambakan keredhaan ALLAH semata-mata,serta berusaha meningkatkan keimanan kita dan berusaha untuk mengimarahkan Masjid. Terutamanya kita sebagai MAHASISWA,hendaklah kita berusaha lebih untuk menghabis masa kita dengan ber’iktikaf di Masjid lebih kerap berbanding “ber’iktikaf” di pasar malam, pusat membeli-belah dan melepak yang sia-sia.

Marilah kita jadikan artikal ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian kita. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Segala ilmu yang berguna bolehlah kita sama-sama berusaha untuk melakukannya, manakala jika ada yang salah, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan jadikannya sebagai sempadan. Insya-Allah, dengan maklumat yang tidak seberapa ini, mudah-mudahan kita dapat mengislahkan diri kita. Wallahua’lam.

Renungan dan peringatan bersama,
(Qurratu Ain Binti Rapihi)
Timbalan Exco Biro Dakwah & Pembangunan Sahsiah
Persatuan al-Quran & al-Sunnah (al-QudS).