Piala Dunia

Salam Ukhuwah…

Moga Allah Subhanahuwataa’la merahmati para pembaca yang cuba untuk memahami dan mengambil pengajaran daripada risalah ringkas yang ditulis oleh seorang penulis yang dhaif lagi lemah tanpa bimbingan dan petunjuk dari_Nya dengan niat yang ikhlas semata-mata mengharapkan petunjuk dan hidayah dari_Nya disamping ingin menyebarkan & menyampaikan kebenaran (الحق).

Dari Abu Hurairah ‘Abdul Rahman bin Sakhr Radiyallahu ‘anh katanya:
“Aku telah mendengar bahawa Rasulullah Salallahu a’laihi wasallam telah bersabda: Apa yang aku tegahkan (larang) daripada kamu maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu dengannya maka hendaklah kamu laksanakan (kerjakan) mengikut keupayaan yang ada pada diri kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu disebabkan banyaknya pertanyaan dan percanggahan (perselisihan) mereka terhadap nabi-nabi (yang diutuskan) kepada mereka”.
(HR. Bukhori & Muslim)
Pengajaran yang boleh diambil daripada hadith:

1. Rasulullah dalam sabdanya menegaskan kepada kita supaya menjauhi segala tegahannya dan melaksanakan segala perintahnya (sekadar mana keupayaan yang mampu untuk kita lakukannya.
2. Terdapat perbezaan berhubung perkaitan antara larangan dan suruhan di dalam hadith ini. Larangan di sini bermaksud kita tidak boleh sama sekali melakukan sesuatu kejahatan (maksiat) dan tidaklah dimaafkan bagi mereka yang melakukan kejahatan seperti minum arak, berjudi, zina, dengan alasan tidak berupaya mencegah nafsu yang bergelora kerana larangan itu tetap mengenai dirinya dengan tidak bersyarat, manakala suruhan pula wajib dikerjakan sesuai dengan ketentuan hukum menurut sekadar mana yang dapat dilakukan. Malahan ada di antara sesetengah hukum itu diwajibkan ke atas seseorang dengan berserta sebab dan syarat-syaratnya yang tertentu.
3. Di dalam hadith ini juga, Rasulullah salallahu’alaihi wasallam melarang kita daripada memperbanyakkan pertanyaan atau menimbulkan masalah-masalah yang sukar difahami, yang kadang-kadang menyulitkan dan menyempitkan hukum-hukum agama.


Panah Islam
“Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka”
(Sa’ad ibn Abi Waqqas)

Beliau merupakan bapa saudara Nabi salallahu a’laihi wasallam dan antara orang terawal memeluk Islam. Sa’ad radiyallahu‘anhu juga termasuk dari kalangan 10 orang sahabat nabi yang terbaik yang dijanjikan syurga. Disebut dalam tulisan al-Mubarakfuri, Sa’ad RA adalah antara 9 orang yang mempertahankan nabi SAW dalam peperangan Uhud.

Beliau yang mengalahkan Persia dengan kemampuan beliau yang setanding dengan Khalid al-Walid RA. Beliaulah orang yang telah memalukan panglima Rustam dalam operasi Qadisiyah.

Keberanian beliau terserlah apabila beliau dengan berani menyatakan kepada Baginda SAW, “Aku adalah panah daripada panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja engkau suka”. Slogan yang dilaungkan oleh Sa’ad merupakan satu slogan yang sangat baik, “Aku adalah panah daripada panah-panah Islam”. Slogan itu merupakan lambang keyakinan yang tinggi memuncak serta simbol keberjayaan tarbiah yang di bawa oleh Nabi Salallahu a’laihi wasallam kepada mereka.

(dipetik daripada buku “50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh & Cerita di Sebaliknya”, Ust. Mohd Dzul Khairi Mohd Noor).
Seputar ulasan berkaitan Piala Dunia…

Kita semua sudah sedia maklum bahawa judi itu haram hukumnya di sisi Islam bahkan ia membawa banyak keburukan kepada manusia sesama muslim atau non muslim. Tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 untuk menyekat kegiatan perjudian tanpa lesen memperlihatkan kedangkalan mereka dalam mengatasi isu tersebut. Adakah memadai untuk menghalang kemudaratan dengan cara memberikan lesen untuk melakukan kemudaratan tersebut umpama ingin menghalang orang yang mencuri dengan memberikan lesen kepada mereka untuk mencuri.

Ini mungkin satu usaha daripada pihak kerajaan yang tidak segan silu meluluskan lesen judi tersebut demi untuk mencapai matlamat MEB bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Jika itulah yang berlaku, ini mengesahkan lagi bahawa dasar pemerintahan negara ini adalah sekular melalui cabang pragmatisme dan bukannya Islam sebagaimana yang mereka war-warkan bahawa negara ini adalah negara Islam.

Kelulusan judi ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan hanya bertopengkan Islam demi wang, politik dan kerakusan kuasa semata-mata. Di hadapan masyarakat, mereka menzahirkan bahawa mereka inginkan Islam dengan menganjurkan pelbagai program keislaman seperti forum, sambutan hari kebesaran Islam termasuk begitu vokal dalam isu larangan berpolitik dalam masjid tetapi dalam masa yang sama mereka tidak kisah untuk menghalalkan perkara yang haram di sisi Islam dengan memberikan alasan yang tidak logik. Halal bagi mereka adalah kegiatan yang berlesen, adapun haram adalah kegiatan yang tidak diberikan lesen oleh mereka. Islam Hadhari yang sebelum ini dijadikan sebagai topeng untuk mengekalkan kuasa kini tenggelam kerana slogan tersebut hanya memakan diri dan merugikan mereka.

Sekira dirujuk kembali kepada kaedah pengambilan hukum iaitu ”matlamat tidak boleh menghalalkan cara”. Ini bermakna niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa yang sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram di dalam Islam seperti mana Firman Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
”Wahai orang-orang yang beriman! ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan menilik nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dan ia tergolong dari perbuatan-perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 219: ”mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia akan tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang mereka boleh belanjakan (dermakan)? katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”

Moga Allah Subhanahuwataa’la mengampunkan dosa penulis dan dosa pembaca sekalian di atas kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan atau yang akan dilakukan sama ada kesilapan itu disengajakan atau tidak disengajakan, yang mungkin juga disebabkan oleh kelemahan iman, kejahilan ilmu dan kecatatan amalan kita masng-masing.

Semoga apa yang tertulis ini mampu untuk memberi sedikit kesedaran kepada penulis dan saudara/ri sekalian. Kita tak pernah menjadi sempurna, kita manusia yang sentiasa berbuat kesalahan. Maka seharusnya kita muhasabah diri kita masing-masing, perlunya kita ingat-memperingati antara satu sama lain. Kerana kita adalah umat Muhammad Salallahu’alaihi wasallam.

Disediakan oleh,
Saudara kamu dalam Islam
(Sufi Shahmi b. Sulaiman)
Exco Biro Dakwah & Pembangunan Sahsiah
Persatuan al-Quran & al-Sunnah (al-QudS)

Buaya oh Buaya!

Salam Satu Fikrah! Apa khabar pembaca blog budiman? Dalam sibuk kita menguruskan kehidupan seharian dalam masa yang sama, marilah sama-sama kita sensitif dan peka dengan isu-isu semasa yang berlaku di seliling kita mahupun isu saudara-saudara kita diluar sana.

Pada entri kali ini, penulis terdetik untuk mengupas tentang isu kalimah الله pada lambang kasut yang makin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia iaitu Crocs. Dewasa ini ada yang sibuk menanya betul ke kasut Crocs ada kalimah الله. Macamana? Boleh ke pakai? Ada yang mengatakan perlu boikot dan ada yang katakan yang mengapa perlu ditimbul-timbul isu seperti ini sedangkan ia sekadar gambar buaya yang langsung tidak nampak tulisan tersebut kecuali orang yang tinggi imiginasinya.

Sebelum itu, kita tinjau dulu tentang kasut Crocs. Kasut Crocs merupakan syarikat daripada US. Sedikit cerita tentang kewujudan Crocs ni. Crocs Inc. adalah sebuah kilang membuat kasut yang mula-mula ditubuhkan oleh George B. Boedecker, Jr. Kilang pembuatan Crocs ibu pejabatnya di Niwot, Colorado United States dan Jibbitz merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Rich dan Sheri Schmelzer pada tahun 2005 untuk membuat lampiran hias untuk lubang-lubang pada sandal Crocs. Syarikat ini berpusat di Boulder, Colorado. Terdapat pelbagai jenis Crocs yang popular antaranya ialah Santa Cruz Corduroy, Crocband, Yukon Woven atau mana-mana jenis Crocs yang lain. Maklumat lanjut bolehlah dirujuk disini.

Kasut Crocs merupakan trend zaman sekarang yang mana sesuai dipakai lelaki mahupun wanita. Dengan gayanya yang kasual ia sesuai dipakai pada bila-bila masa. Tambahan pula design nya yang tahan lasak menjadi penyebab utama ia menjadi pilihan ramai. Malangnya sedar tidak sedar logo buaya yang terdapat pada kasut Crocs itu seakan-akan mirip kalimah الله bila diterbalikkan gambar buaya yang ada pada logo tersebut.



Penulis bukan orang yang layak untuk menetapkan yang mana betul atau salah. Disini penulis cuma ingin mengajak antum semua berfikir sendiri yang manakah yang betul atau salah. Bagi penulis sendiri lebih baik kita tinggalkan apa yang nampak kesamaran itu jika ia tidak mendatangkan keadaan darurat atau terdesak. Jika jelas nampak kalimah tersebut eloklah kita prihatin dan cuba mengikis logo tersebut tidak kira lah Crocs original atau fake. Hal ini supaya kita tidak rasa was-was dan ragu ketika memakainya. Penulis tidaklah mensyorkan untuk membuang kasut yang sememangnya mahal jika original hingga mencecah ratusan ringgit. Islam juga tidak menganjurkan kita untuk membazir. Manakala bagi yang tidak membeli apa kata kita cuba elakkan seboleh mungkin supaya kita terkeluar dari keraguan dan kesamaran tersebut. Bukan apa takut kalau sebenarnya memang itu adalah salah satu agenda musuh untuk merosakkan Islam maka musuh kita bertepuk tangan melihat kita terbuai dengan keindahan dunia dan tidak sensitif terhadap agama kita. Isu-isu macam ni, susah kita nak merungkaikan dan membuat kesimpulan sama ada ianya hanya sebagai kebetulan atau memang disengajakan melainkan orang yang mencipta logo tersebut yang mengetahui. Sama ada memang mereka sengaja nak merosakkan agama Islam ni. Lagi-lagi bila kalimah الله yang suci sepatutnya di hormati terletak di tapak kaki kita sendiri.

Lihat sahaja pelbagai agenda yang mereka lakukan untuk menghina Islam menujukkan betapa lemahnya kita sehingga boleh dihina sedemikian. Pelbagai karikatur dan gambar yang menghina Islam. Apakah itu tidak menjadikan kita lebih berhati-hati? Akhir zaman ini perasaan sensitif terhadap Islam itu perlu ada. Menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga maruah Islam, supaya ia tidak tercemar dan dihina sebegini mudah oleh musuh-musuh Islam. Harapan penulis kita sama-sama peka dengan isu-isu seperti ini. Wallahualam..

Bangkitlah Demi Saudaramu Disana

Salam perjuangan dan Salam berani mati!

Alhamdullilah penulisan blog ini merupakan pertama kali penulis setelah pertukaran pimpinan dilakukan. Penulis memohon maaf kepada semua yang mengikuti perkembangan blog ini kerana tiada post entri yg terbaru. Begitu juga kepada yang memberi harapan yang tinggi kepada pimpinan kali ini, kami sentiasa mengharapkan tunjuk ajar daripada kalian. Nasihat dan teguran yang membina amat dialu-alukan supaya kami dapat memberi yang terbaik. Bagi menghidupkan blog ini, insyaAllah penulis akan cuba melakukan yang terbaik dan akan mengikuti perkembangan2 semasa di dalam dan luar KUIS.

Untuk isu kali ini, penulis tidaklah mahu lari dari isu yang tengah hebat diperkatakan, dan kita semua sememangnya sudah maklum dengan isu yang sangat penting iaitu nasib saudara2 kita di Palestin. Alhamdulillah,malam jumaat yang lepas penulis diberi kesempatan untuk sama2 solat hajat perdana di Stadium Melawati yang dianjurkan oleh pihak KUIS dan semalam juga telah diadakan demonstrasi membantah Israel laknatullah walaupun penulis tidak dapat turut serta dlm demonstrasi atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan.

Keprihatinan masih ada dikalangan kita rakyat Malaysia untuk sama2 menegakkan isu Palestin walaupun ada yang beranggapan bahawa isu ini lapuk dan membosankan. 12 orang rakyat Malaysia yang mewakili seluruh rakyat Malaysia berusaha untuk membuktikan kecintaan kita kepada saudara seIslam di Palestin. Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia bersatu menyertai konvoi antarabangsa untuk menerobos sekatan yang dikenakan rejim zionis Israel laknatullah kepada penduduk Gaza yang sekian lama dihalang daripada mendapat bantuan kemanusiaan dan bertemakan "Talian Hayat Untuk Gaza - Menerobos Tembok Kematian atau lebih dikenali Lifeline4Gaza(LL4G)- Break The Siege". NGO2 yang terlibat ialah HALUAN, ABIM, JIM, PACE, DEWAN PEMUDA, MUSLIM CARE, Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan Viva Palestina Malaysia(VPM).

Sebagaimana yang kita maklumi, rejim zionis Israel laknatullah telah membina tembok di Gaza dan Tebing Barat yang telah menjadikan Gaza sebagai penjara terbesar di dunia. Tembok setinggi 8-12 meter dan sepanjang 850 km menjadi senjata utama rejim zionis untuk 'membunuh' penduduk Gaza secara perlahan-lahan. Tembok ini telah digunakan untuk menghalang kemasukan bahan keperluan asas kehidupan termasuk makanan,minyak dan bahan perubatan. Bukan itu sahaja, hak untuk hidup rakyat Gaza juga telah dinafikan.

Ketika misi bantuan kemanusiaan LL4G ke Gaza, kapal-kapal ini telah diserang oleh angkatan laut Israel laknatullah. Akibat dari tindakan biadap ini , 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami kecederaan yang parah. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan- sukarelawan dari kalangan masyarakat awam. Malangnya Israel laknatullah secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman.

Oleh itu, penulis menyeru kepada semua pihak dan juga rakyat Malaysia untuk terus prihatin dan memberi bantuan serta sokongan padu kepada rakyat Palestin. Kami juga menyeru kepada semua untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel laknatullah serta bersedia untuk menyokong sebarang tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.

DOA UNTUKMU PALESTIN