Dambalah syafaat Al-Quran

Salam'alaik. Hamdan wa syukran lillahi Rabbil 'alamin.. Semoga para pembaca sentiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah. Insya Allah.

Berbahagialah hamba yang sentiasa mencintai dan merindui Al-Quran. Hamba yang mengalir segar curahan dan basahan firman di segenap urat nadinya. Hamba yang siang dan malamnya diterangi dan disimbahi nur Al-Quran.

Al-Quran, tidak kenal siapa perindunya. Al-Quran amat kenal mereka yang bersengkang mata semata-mata untuk membacanya pada waktu malam. Ia amat kenal mereka yang membaca, mengahayati, mengamalkan hukum-hakam dan memperjuangkan segala perintah seruan dan petunjuk di dalamnya. Al-Quran bukan sekadar kenal, malah merindui serta mendoakan keampunan untuk sekalian pembacanya.

Daripada Abu Umamah r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:" Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti untuk memberi syafaat kepada ashabnya (yakni mereka yang membaca dan beramal dengan segala ahkam dan petunjuknya)." (Riwayat Muslim).

Para pembaca sekalian, peroleh syafaat bukanlah perkara kecil. Saat di padang mahsyar yang penuh ketakutan dan kesedihan, seseorang itu pasti akan mengharapkan keselamatan dan perlepasan daripada azab Allah s.w.t. yang panas membakar. Di situlah adanya sokongan dan penyaksian yang baik, iaitu kurniaan syafaat yang diperuntukkan Allah s.w.t. khas kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya.Dan saat itulah Al-Quran hadir untuk memberi syafaat kepada temannya setelah diperkenankan oleh Allah s.w.t.

Justeru itu, bersungguh-sungguhlah kita menjadi Ummatul Quran. Binalah keluarga, masyarakat dan rakyat kita agar menjadi Jilul Quran yakni Generasi Al-Quran. Generasi Al-Quran bukanlah orang yang sekali khatam kemudian langsung tak jamah Al-Quran melainkan apabila ada kematian. Tetapi, jadilah seorang Muslim yang beriman penuh dengan Al-Quran tanpa ada syak dan ragu bahawa Al-Quran itu adalah sumber petunjuk, panduan, penawar, penjana kemajuan, penggerak motivasi, ilmu, perundangan,sebaik-baik harta dan segalanya.

Dengan itu, hubungkanlah diri dan dekatlah padanya kerana di situlah akan terbukti benar tidaknya dakwaan cintakan Allah s.w.t. Sekadar mana seseorang itu mengimani Al-Quran, maka sekadar itu jugalah cintanya pada Allah s.w.t. Kurang hubungannya dengan Al-Quran maka kurang jugalah hubungannya dengan Allah. Begitulah pandangan oleh Ibnu Mas'ud r.a.

Akhir kalam, semoga kita menjadi generasi Al-Quran yang berpegang teguh pada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah dan sentiasa mendambakan syafaat daripadanya dan juga daripada junjungan besar kita Rasulullah s.a.w.

Wallhu'alam, Wassalam.